Hebahan

Selamat Datang Ke Laman Blog Shamsul-AlBesuti

Thursday, September 29, 2011

Entah kenapa, tetiba tangan ku ini ingin menaipka sesuatu diruang ini...
Entah kenapa aku begitu setiasa untuk menaip meskipun lelah mencari idea...


Tika aku terpandang wajahmu dilaman anganku
Aku terkedu dalam sendu
Kau tersenyum manja
Mengukir sebuah memori rinduku padamu

Terbuka lipatan sejarah kita
Senyum tawa berlarian gembira
Tangan mulusmu terasa menyentuhiku
Tersentak dari lamunan

Begitu cepat kau pergi
Tinggalkan aku dalam pertanyaan
Meskipun sebuah persoalan telah terjawab
Yang pasti aku terpinga dialam nyata

Baru semalam kita jumpa
Tanpa sempat bersapa

Kini lenyap sudah sebuah cerita
Terpisah oleh dua dunia berbeza
Ku pasrah dengan Maha Kuasa
Atas takdirmu untukku

Dalam sendu aku terkedu
Dalam senyum aku aku menangis
Kau pergi jua meninggal kalungan kenangan
Terpahat diminda, tak mungkin terlerai


Ku meratapi sebuah pemergian itu
Dengan doa dan harapan untukmu
Sebuah persemaian yang aman
Bertemu Kekasihmu buat selama-lamanya


Kerana rinduku padamu
Ku hadiahkan ALFATIHAH buatmu...
Damailah kau disana, disisi Kekasihmu....

Sunday, August 14, 2011

Bulan Terbelah diakui benar oleh Barat.

Prof. Dr. Zaghlul Al-NajarDalam temu bual di televisyen bersama pakar Geologi Muslim, Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar, salah seorang warga Inggeris bertanyakan soalan kepadanya, adakah ayat dari surat Al-Qamar memiliki kandungan mukjizat secara ilmiah?


Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar telah menjawabnya seperti di bawah ini:
Mengenai ayat ini, saya akan menceritakan sebuah kisah. Sebelum ini saya pernah mengadakan pembentangan di Universiti Cardiff, dan para peserta yang hadir datangnya dari pelbagai bangsa dan agama, ada yang muslim dan ada juga yang bukan muslim. Salah satu tajuk diskusi ketika itu adalah mengenai mukjizat ilmiah dari Al-Qur'an. Salah seorang pemuda yang beragama muslim pun berdiri dan bertanya, "Tuan, apakah menurut anda ayat yang berbunyi [Telah dekat hari qiamat dan bulan pun telah terbelah] mengandung mukjizat secara ilmiah ? Maka saya menjawabnya: Tidak, sebab kehebatan ilmiah dirungkaikan oleh ilmu pengetahuan, sedangkan mukjizat tidak dapat diterangkan oleh ilmu pengetahuan, sebab ia tidak dapat menjagkaunya.


Mengenai terbelahnya bulan, perkara itu adalah mukjizat yang terjadi pada Rasul terakhir Muhammad s.a.w sebagai bukti kenabian dan kerasulannya sebagaimana nabi-nabi sebelumnya. Dan mukjizat itu disaksikan oleh setiap orang yang melihatnya pada masa itu. Andainya perkara itu tidak tertulis di dalam kitab Allah dan hadits-hadits Rasulullah, tentulah kami para muslimin di zaman ini tidak akan mengimani dan percaya akan kejadian tersebut. Walaubagaimanapun kejadian bulan terbelah itu memang benar terkandung di dalam Al-Qur'an dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Dan memang Allah ta'alaa benar-benar Maha berkuasa atas segala sesuatu.


Maka Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar pun menceritakan semula kisah Rasulullah membelah bulan. Kisah ini berlaku sebelum hijrah dari Mekah Mukarramah ke Madinah. Orang-orang musyrik berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau benar Nabi dan Rasul, cuba tunjukkan kepada kami satu kehebatan yang dapat membuktikan kenabian dan kerasulanmu (mengejek dan mengolok-olok)?" Rasulullah bertanya, "Apa yang kamu inginkan ? Mereka menjawab: Cuba membelah bulan, .." Rasulullah berdiri dan terdiam, berdoa kepada Allah agar menolongnya. Maka Allah memberitahu Muhammad supaya mengarahkan telunjuknya ke bulan. Selepas itu Rasulullah pun mengarahkan telunjuknya ke bulan, dan terbelahlah bulat itu dengan sebenar-benarnya. Maka serta-merta orang-orang musyrik pun berkata, "Muhammad, engkau benar-benar telah menyihir kami!"


Akan tetapi para ahli mengatakan bahawa sihir boleh saja "menyihir" orang yang ada disekelilingnya tetapi tidak dapat menyihir orang yang tidak berada ditempat kejadian. Mereka menunggu orang-orang yang akan pulang dari perjalanan untuk mendapatkan kepastian. Maka orang Quraisy pun segera menuju keluar dari kota Mekkah untuk menanti orang yang baru pulang dari perjalanan. Ketika datangnya rombongan pertama yang menuju ke Mekkah, maka orang-orang musyrik pun bertanya, "Apakah kamu melihat sesuatu yang aneh terhadap bulan?" Mereka menjawab, "Ya, benar. Pada malam yang lalu kami melihat bulan terbelah menjadi dua dan saling berjauhan antara keduanya dan kemudian kembali bercantum."

Maka sebahagian dari mereka beriman, dan sebagian lainnya tetap kafir (ingkar). Oleh kerana itu, Allah menurunkan ayat-Nya:
Sungguh, telah dekat hari kiamat, dan telah terbelah bulan, dan ketika melihat tanda-tanda kebesaran Kami, mereka pun ingkar lagi berpaling sambil berkata, "Ini adalah sihir yang terus-menerus berlaku", dan mereka mendustakannya, bahkan mengikuti hawa nafsu mereka.


Ini adalah kisah yang benar, demikian kata Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar. Dan setelah selesainya Prof. Dr. Zaghlul menyampaikan hadits nabi tersebut, seorang muslim warga Inggeris berdiri dan memperkenalkan diri, "Saya Daud Musa Pitkhok, ketua Al-Hizb Al-Islamy Britain. Bolehkah saya menambah sedikit mengenai apa yang kita bincangkan tadi?"
Prof. Dr. Zaghlul Al-Najar menjawab: "silakan."
Daud Musa Pitkhok berkata, "Saya pernah meneliti agama-agama lain (sebelum memeluk Islam) dan salah seorang rakan muslim menunjukkan sebuah terjemah dan makna-makna Al-Qur'an. Saya amat berterima kasih kepadanya dan saya membawa terjemah itu pulang ke rumah. Ketika saya menyelak-nyelak terjemahan Al-Qur'an itu di rumah, saya terbaca sepotong ayat, telah dekat hari kiamat dan bulan pun telah terbelah.


Saya berfikir seketika, adakah ayat ini masuk akal? Adakah mungkin bulan boleh terbelah dua dan kemudian bercantum kembali? Kalaulah benar, kekuatan apakah yang dapat melakukan perkara itu?. Saya berhenti dari membaca ayat-ayat selanjutnya dan meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Akan tetapi Allah Maha Mengetahui tentang tahap keikhlasam hamba-Nya dalam mencari kebenaran. Tidak lama selepas itu saya menonton bual bicara di televisyen. Bual bicara itu berlangsung diantara host seorang Inggeris dan 3 orang pakar ruang angkasa AS.
Ketiga-tiga pakar angkasa tersebut menceritakan tentang kos kewangan yang begitu besar dalam rangka melakukan perjalanan ke angkasa, padahal pada waktu yang sama dunia sedang mengalami masalah kebuluran, kemiskinan, wabak penyakit dan peperangan. Host pun berkata, "Kalaulah dana itu digunakan untuk mengamankan dunia ini, tentulah lebih berguna". Ketiga-tiga pakar itu membela diri dengan membela projek angsa lepasnya sambil berkata, "Projek angkasa lepas ini akan membawa kesan yang sangat positif kepada kehidupan manusia dalam bidang perubatan, industri, dan pertanian. Jadi dana kewangan tersebut bukanlah sesuatu yang sia-sia tetapi ianya dalam rangka pembangunan dan kemajuan kehidupan manusia.

erbincangan selepasnya berkisar tentang angkasawan menjejakkan kakinya di bulan, dimana penerokaan angkasa raya ke bulan tersebut telah menghabiskan dana tidak kurang dari 100 juta dollar. Mendengar fakta itu, host begitu terkejut dan berkata, "Dana begitu besar digunakan dan dibuang oleh AS hanya untuk mendarat di bulan?" Mereka pun menjawab, "Tidak, tujuannya tidak semata-mata mendarat di bulan tetapi kami mahu mengkaji kandungan yang ada di dalam bulan itu sendiri." Selepas mendengar penerangan mereka, host Inggeris itu bertanya, "Jadi apa yang kamu temui selepas kajian dijalankan"Mereka menjawab, "Terbukti bulan pernah terbelah pada masa dulu, kemudian kembali bercantum. Host rancangan bertanya lagi, "Bagaimana kamu semua yakin terhadap kejadian itu?" Mereka menjawab, "Kami dapat tahu dari penemuan dan kajian ke atas batuan-batuan dan kami dapati yang batuan tersebut terpisah di permukaan bulan sehinggakan ke dalam (perut) bulan. Selepas itu kami meminta para pakar geologi untuk merungkai misteri ini, dan mereka mengatakan bahawa perkara ini tidak mungkin terjadi kecuali jika bulan pernah terbelah dan bercantum semula".


Mendengar penjelasan itu, ketua Al-Hizb Al-Islamy Britain itu berkata, "Mukjizat (kehebatan) benar-benar telah berlaku pada diri Muhammad s.a.w 1400-an tahun yang lampau. AS menggunakan dana yang begitu besar, 100 juta dollar lebih hanya untuk memastikan kebenaran isi kandungan Al-Quran. Agama Islam ini tidak mungkin salah. Saya membuka kembali Mushhaf Al-Qur'an dan saya membaca surat Al-Qamar. Itulah kisah awal saya menerima dan memeluk Islam.


Semua mukjizat yang terjadi adalah atas dasar kehendak Allah swt itu sendiri, bukan kerana keinginan Muhammad saw seorang tetapi atas dasar bantuan Allah swt. Sama halnya yang terjadi terhadap Nabi Isa (Jesus), bahawa beliau boleh menghidupkan orang yang telah mati, menyembuhkan orang buta dan lain-lain. Semua itu adalah atas dasar kehendak Allah swt.

Sumber: http://zharifalimin.blogspot.com/2009/12/mukjizat-nabi-saw-dibuktikan-benar-oleh.html

Tuesday, May 3, 2011

Asal Usul Hari Ibu

Oleh: tazkirah

"Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece, sebagai penghormatan terhadap Rhea (ibu kepada tuhan mereka). Pada tahun 1600 orang-orang England merayakan hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent (adalah tempoh masa selama 40 hari samada dalam bulan Februari atau Mac.) Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary (Maryam, ibu kepada Nabi Isa A.S atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan).

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin, akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad keempat, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan, dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church (yang dianggap dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memullihara mereka dari sebarang kecederaan). Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di Amerika Syarikat, Hari Ibu disambut seawal 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic" (TBHoTR). TBHoTR telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga Amerika. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907 Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar meraya dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun kedua kematian ibunya, iaitu pada hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, Hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia. Anna Jarvis, dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah Amerika. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson, secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti raikan pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan, tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei.

Sumber :
1. http://www.tranungkite.net/
2. www.mothersdaycentral.com

Tuesday, April 19, 2011

Undi: Dosa dan Pahala...

Ramai yang bertanya tentang siapakah yang patut mereka undi dalam piliharaya akan datang, atau yang sedang berlangsung di Sarawak sekarang. Soalan-soalan ini muncul kerana kebanyakan generasi muda hari ini belum membuat keputusan parti pilihan.

Ia patut dilihat sebagai satu perkembangan yang baik, kerana rakyat sudah mula bebas dari cengkaman fanatik atau sokong secara membuta tuli. Jika sikap ini dipimpin ia akan melahirkan rakyat yang tidak boleh diperbodohkan dan sentiasa sedia untuk membuat perubahan berdasarkan potensi yang dipamir oleh setiap parti yang bertanding.

Dalam salah satu artikel yang lepas, saya telah menjelaskan bahawa undian seseorang mempunyai nilai dosa dan pahala di sisi Allah berdasarkan kesan yang mungkin berlaku disebabkan undi yang diberikan. Jika ia membawa kesan yang baik untuk rakyat dan negara, dan itulah tujuan individu yang mengundi tersebut, maka undi itu mendapat pahala. Jika dia tahu undinya itu boleh memberikan kesan yang buruk, tetapi dia terus mengundi juga, maka dia mendapat dosa.


Allah SWT telah memerintahkan kita memberikan amanah kepada yang layak. Firman Allah: (maksudnya)
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).


Bagaimanapun di sini saya ingin menyebut beberapa langkah atau panduan penting bagi seseorang pengundi muslim juga mungkin boleh dimanfaatkan oleh non-muslim dalam konteks negara kita ini;


1. Seseorang muslim hendaklah mengundi dengan ilmu pengetahuan, bukan sekadar ikut-ikutan. Ertinya, keputusannya untuk memilih seseorang calon adalah dengan pengetahuan tentang latar belakang calon berkenaan. Ini kerana Allah S.W.T telah memerintahkan kita agar bertindak atas ilmu, bukan kejahilan. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta jantung akal kamu, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya”. (Surah al-Isra: 36).
Maka, setiap individu yang hendak pergi mengundi wajib mempunyai maklumat tentang calon yang hendak dipilih. Jika pengundi itu sudah tua atau tidak mampu mencari maklumat sendiri, dia hendaklah bertanya kepada pihak yang dia yakini dapat memberikan maklumat yang benar.


2. Seseorang pengundi muslim hendaklah mendengar dari pelbagai sumber dan memilih yang terbaik. Ini kerana pilihanraya menawarkan lebih dari seorang calon, maka kita perlu membuat pemilihan antara mereka. Dalam negara kita, kadang-kala ruang mendengar dari kesemua pihak secara adil sukar diperolehi, terutama bagi kawasan pendalaman. Namun, jika kita berusaha, kita mungkin boleh mendapat maklumat dari kesemua pihak tentang apa yang hendak dan mampu calon berkenaan lakukan.


Allah mengingatkan kita tentang ciri-ciri insan berfikiran matang yang Allah redha, mereka itu dinamakan dengan Ulul Albab. Antara ciri mereka, seperti yang Allah firmankan: (maksudnya)
“..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).
Maka, usaha mendapatkan maklumat yang adil sehingga dapat membuat pilihan yang terbaik adalah penyebab kepada seseorang insan mendapat petunjuk daripada Allah dan mendapat ganjaran pahala.


3. Seseorang muslim hendaklah memilih calon yang paling layak di sudut al-quwwah (kemampuan) dan al-amanah (amanah/ketelusan). Jika seseorang calon memiliki kemampuan diri sebagai pemimpin dan nilai amanah yang menjadikan dia akan bersikap telus dengan jawatan yang dipilih, maka calon itu layak dipilih. Jika yang bersaing dengannya itu tiada nilai kemampuan dan amanah, wajib untuk undi diberikan kepada calon yang mempunyai ciri-ciri yang layak. Firman Allah:
“Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas:26).


4. Jika kesemua calon mempunyai ciri-ciri kelayakan, maka kita hendaklah memilih calon yang paling berkesan untuk jawatan tersebut. Ini boleh dilihat kepada pelbagai faktor, seperti program dan manifesto partinya, kekuatan akar umbinya, ciri-ciri keistimewaan yang lain; seperti pengalaman, latar pendidikan, dan sebagainya. Inilah sikap Ulul Albab yang diajar oleh al-Quran, sentiasa memilih yang terbaik. Maka, setelah mengenali calon, mengenali hasrat sesebuah itu juga penting. Ini kerana, seseorang calon biasanya terikat dengan halatuju partinya.

5. Jika kesemua calon didapati tidak mempunyai ciri-ciri yang layak untuk memegang kerusi tersebut, maka seorang muslim hendaklah memilih calon yang paling kurang mudarat atau bahayanya terhadap rakyat dan umat dibandingkan yang lain. Ini berasaskan kaedah syarak “Mudarat yang lebih besar dihilangkan dengan mudarat yang lebih ringan”, atau “Memilih bahaya yang paling ringan”.
Kaedah ini dipakai apabila kita berhadapan dengan pilihan yang kesemua buruk, maka kita memilih apa yang mudarat atau bahayanya itu paling minima. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya)
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati (bulan haram); katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke al-Masjid Al-Haraam, serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah, dan (ingatlah), angkara fitnah (kerosakan) itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati)…” (Surah al-Baqarah: 217).


Ayat ini jelas memberitahu bahawa dosa-dosa itu walaupun besar, namun nilainya tidak sama. Ertinya, apabila bertembung kita memilih atau menentukan yang paling kurang bahaya atau mudaratnya supaya tindakan kita dapat meminimakan bahaya.


6. Menilai rekod, matlamat, manifesto dan juga apa yang tersurat dan tersirat di sebalik parti yang disertai oleh seseorang calon juga adalah penting. Ini kerana, biasanya –walaupun tidak semua- penyertaan individu ke dalam sesebuah pertubuhan mempunyai kaitan dengan kepercayaan dan nilai diri individu tersebut.


Justeru, jika kita gagal mengetahui tentang latar calon, kita boleh menilai parti yang disertainya. Jika rekod parti itu buruk, maka kita hendaklah berpegang kepada ingatan Nabi s.a.w:
“Orang mukmin tidak akan disengat dari satu lubang sebanyak dua kali” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


7. Jika semua calon gagal diketahui latarbelakang mereka, dan tiada pula rekod yang buruk bagi parti mereka, hendaklah dibuat diteliti matlamat dan manifesto yang ditawarkan. Hendaklah dibandingkan mana yang lebih telus dan bermanfaat untuk rakyat dan negara. Inilah konsep Ulul Albab.


8. Jika bertembung antara calon yang baik dan partinya yang buruk, sementara calon yang buruk partinya baik, maka pada asasnya kita mendahului peribadi calon. Ini kerana Allah dan rasulNya memerintahkan kita memberikan amanah kepada sesiapa yang layak sehingga Nabi s.a.w sendiri memberikan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah. KECUALI jika kita dapati pengaruh buruk parti itu lebih menguasai jawatan tersebut dibanding kebaikan yang ada pada peribadi calon, maka ketika itu calon yang kelihatan baik itu tidak diundi kerana dilihat tidak berkemampuan. Ini balik kepada ciri-ciri al-Quwwah dan al-Amanah yang disebutkan sebelum ini.


Thursday, February 17, 2011

A..aku masih disini

Semalaman daku termenggu
Memendam sebuah rasa
Merenung bintang beribu
Nun didada langit harapan

Entah kenapa malam yang sunyi ini
Merentap kenangan itu bertamu dilaman anganku
Hadir bayangmu melenyapkan irama malamku
Sunyi dunia seketika- bagai mengerti perasaan ini

Dahulu tika aku bersendirian
Kaulah teman
Tika daku kesepian
Kaulah penghibur
Tika ku berduka
Kaulah penawar
Senyum tawamu
Gurau sendamu jelas terbayang...

Namun kini semua itu tinggal kenangan cuma
Ku cuba hampirimu
Namun kau kian menjauhi
Semakin aku merindui
Semakin jauh dirimu dariku..lalu aku ditinggalkan
Bersama sebakul harapan
Yang kuisikan padanya segala buah kasih
Yang kumuatkan padanya segala madu cinta
Yang kususun padanya ranting rindu
Yang kukutip dihamparan derita sepanjang laluan ini..

Sungguh tidak terduga
Sepantas itu aku tersinggir
Sepantas halilintar daku tersungkur
Dalam kemanisan madu bahgia...
Rebah dalam pelukan kecewa...
Meranap sebuah mahligai kasih
Merobek luka sebuah rasa

Percayalah aku tidak sekali-kali membencimu
Kasihku masih terpahat didada
Cintaku masih bersemi disendi
Rinduku masih membara.....

Aku rindu waktu bersamamu....

Tuesday, February 15, 2011

maher zain insyaAllah versi melayu

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Assalamu'alaikum,

12 Rabiul Awal disambut penuh meriah oleh umat Islam diseantero dunia sempena hari kelahiran junjungan besar Muhammad SAW. Walaupun ada pelbagai pendapat berhubung tarikh ini serta berbeda fahaman berhubung hukum mengadakan majlis sambutan, namun ia bukannya menjadi halangan kepada umat Islam untuk melahirkan rasa kasihnya kepada Muhammad SAW diatas segala pengorbannya dalam penyebaran sinar Islam didunia ini.

Sebagai tanda ingatan, kasih, cinta kepada Rasul Allah SAW, pelbagai acara telah disususn atur. Persiapan pentas, jemputan,makan,minum juga perarakan telah siap sedia. Begitulah seronoknya kita dikala tibanya tarikh ini saban tahun. Tanpa rasa penat lelah maupun jemu, tarikh itu bagai tarikh keramat dan tidak boleh dilupakan.

Bukan bermaksud menjadi suatu kesalahan mengingati dan meraikan tarikh itu. Tidak pula salah mengingati Muhammad SAW, namun pernahkah kita berfikir sejauhmanakan keikhlasan kita dalam menghayati maksud maulidur itu dengan pengorbanan tenaga,masa juga wang ringgit?Bahkan satu selawat keatas Nabi diberi ganjaran 10 selawat. Betapa besarnya fadilah mengingatinya.

Didalam kita bersusahpayah membuat semua persiapan itu berapa kali kita berfikir bahawa betapa banyaknya perkara yang kita lakukan dalam kehidupan ini bertentangan dengan kehendak Nabi...banyak yang tersasar daripada apa yang dizahirkan. Dipenglihatan zahir kitalah insan yang begitu cinta dan kasih kepada Rasul Allah. Namun dijiwa dan amalan kita pernahkah kita berfikir bahawa secara tidak sedar kita tidak menepati maksud maulir rasul itu sendiri..

Berapa ramai umat islam yang menentang Islam secara tidak sedar pada hari ini. Berapa ramai umat Islam hari ini yang tidak tahu hukum hakam, tidak tahu solat tetapi mampu hafaz lirik lagu, tidak tahu mengaji dan hidup semata-mata atas nama Islam namun tiada roh Islam dijiwa.
Justeru bersempena dengan sambutan kali ini, marilah kita bina satu azam, satu tekad untuk sama-sama membentuk jiwa yang cinta dan kasih kepada Rasul Allah yang telah banyak berjaya dalam meneruskan perjuangan menyebarkan syiar Islam. Pengorbanan yang tidak ternilai sehinggakan disaat kewafatan baginda pun sempat lagi disebut "Umati,umati,umati". Jika Rasul Allah begitu kasih kepada umatnya maka siapalah kita untuk hanya sekadar menyambut hari lahirnya namun jauh disudut hati tiada roh islam?
Selamat menyambut Maulidur Rasul

Friday, January 28, 2011

Aku...

Aku....

Betapa aku dalam mengharungi liku-liku kehidupan ini
Kadang-kadang tersadung akar emosi
Yang berseratan dihamparan menghijau lamanku.

Aku hanya aku
Insan kerdil yang mengembara dihamparan harapan
Dengan seribu impian
Terkadang aku tersungkur
Rebah diselutan kecewa
Dibadai taufan emosi
Yang menghempas, memintal minda

Biar rebah tersungkur
Biar terpercik darah dan nanah kedukaan
Biar terpaksa mengesot
Menyeret siatan kulit kecewa
Akanku teruskan perjuangan ini

Biar berkecai daging
Biar berkecai tulang
Biar tercabut nyawa melayang

Biar sesak nafas
Biar sebak dada

Namun perjuangan ini tetap membara.
Aku tidak sesekali melepasi gengaman setia ini
Jauh sekali mendustai janji termeterai
Ku gengami erat biar terlerai jari sekalipun....

Padaku, derita itu sudah sebati denganku
Kan ku baluti luka itu dengan cara sendiri
Kerana aku adalah aku....

Saturday, January 8, 2011

Hebahan 2: Perjumpaan Kali Ke-3 ExF6SMKKB 90/91

Assalamu'alaikum,

Insya Allah satu perjumpaan ExF6SMKKB 90/91 akan diadakan pada tahun ini sepertimana berikut:

TARIKH : 31 Ogos - 1 Sept. 2011 (2 -3 Syawal 1432H)
(Check in 6.00 Ptg; Check Out 12.30 t/hari)

TEMPAT: Kem Seri Kluang, Besut, Terengganu.

Maklumat program akan dimaklumkan kemudian.


Sekian dan harap maklum,

Setiausaha