Hebahan

Selamat Datang Ke Laman Blog Shamsul-AlBesuti

Wednesday, November 17, 2010

Selamat Menyambut Aidil Adha

Sedar tak sedar Aidil Adha datang lagi. Ia datang membawa 1001 pengajaran untuk umat Islam menghayatinya. Seluruh alam bergema dengan takbir dan tahmid mengagung kebesaran Ilahi. Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam pengabdian diri dengan setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya, Aidil Adha mempunyai pengajaran yang amat besar kepada kehidupan kita sebagai seseorang Muslim dan umat Islam. Dalam hubungan ini, antara pengajaran terbesar sekali ialah tentunya tentang semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam menyempurnakan perintah Allah. Pengorbanan baginda mereka di dalam menjunjung perintah Allah adalah lambang kepatuhan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya. Kita juga perlu ingat terhadap pengorbanan besar Siti Hajar. Ia membawa pengajaran besar kepada muslimat jika benar-benar dihayati.

Kenikmatan Islam hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan Para Sahabat juga syuhada yang berjuang mempertahan dan menyebarkan islam ke setiap pelusuk dunia. Ada diantara mereka yang mengorbankan harta dan tidak kurang nyawa sendiri. Demi Islam, tidak sedikit pengorbanan mereka. Penghayatan serta kefahaman terhadap pengorbanan yang dilakukan mereka yang berjiwa kental ini seharusnya diinsafi serta dihayati oleh seluruh umat Islam, terutama di kalangan para belia. Peranan ini boleh dijayakan menerusi proses penghayatan semangat Aidiladha dalam konteks pengukuhan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh ajaran Islam di dalam amalan dan penghayatan diri.

Firman Allah s.w.t , pada surah at-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.”

Jelaslah juga dari pengertian ayat tersebut bahawa Allah s.w.t mengiktiraf peranan besar yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu Muslim walaupun bentuk tugas dan skop yang berlainan. Sebagai Muslim, kita perlu meyakini bahawa segala perancangan dan usaha-usaha yang telah dan akan kita laksanakan perlu selari dengan semangat ini. Justeru itu, kita perlu sedari juga bahawa di dalam usaha-usaha kita meneruskan perjuangan ini kita sentiasa memerlukan pertolongan dari Allah s.w.t.

Firman Allah s.w.t, pada surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”

Pada pandangan jumhur ulama bahawa tindakan kita bergerak dalam jamaah Islam, isitiqamah dan bersungguh-sungguh melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita adalah satu manifestasi “menolong agama Allah”. Jika kita dapat menghayati dan berjaya melaksanakan tututan jamaah dengan ikhlas, maka layaklah kita mendapat pertolongan dari Allah s.w.t.

Akhir kata pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Aidil Adha dan hayatilah pengorbanan serta ketabahan junjungan besar Muhammad SAW, Para Sahabat,Nabi Ibrahim A.S, Nabi Ismail A.S,Siti Hajar dan para Syuhadah dalam semua aspek kehidupan kita, kepada seluruh Muslimin dan Muslimat di seluruh Malaysia.

Semoga Allah merahmati segala urusan kehidupan kita semua dan memberi kekuatan untuk kita terus gigih dan komited di medan dakwah.

Wassalam.